Model pengurusan
yang ditunjukkan Rasulullah SAW berdasarkan kepada empat perkara utama.
Pertama,
berdasarkan sifat as siddiq (benar). Dia adalah pemimpin yang
senantiasa berkata benar. Perkataan yang benar di dalam Al Quran diulang
berkali-kali dengan maksud, kebenaran perkataan itu akan melahirkan komunikasi
antara manusia secara sihat. Malah bukan sahaja benar dalam perkataan, bahkan
dalam tindakan dan perasaan.
Apabila tiada sifat benar, maka hilanglah kepercayaan. Tiada
siapa yang akan berurusan dengan orang yang tidak dipercayainya. Di sinilah
kejayaan baginda yang sedari kecil dikenali sebagai al
amin, (yang dipercayai).
Hal
ini terserlah ketika dia bekerjasama bisnes dengan Siti Khadijah. Baginda
menunjukkan bagaimana cara bisnes yang benar dan bagaimana sebuah bisnes
dibangunkan atas dasar kepercayaan.
Di waktu itu, kepercayaan merupakan modal utamanya dalam
perniagaan. Ternyata usahanya berhasil dan hingga kini dunia usahawan mengakui
bahawa bisnes tanpa kepercayaan adalah omong kosong belaka.
Kedua,
didasarkan pada sifat al amanah.
Pengurusan yang amanah adalah cara pengurusan yang mampu memenuhi keperluan
masyarakat. Adanya rasa amanah akan menimbulkan rasa aman. Sebaliknya,
menipisnya rasa amanah akan menimbulkan keresahan dan ketidaksabaran sosial.
Jadi, jangan berharap akan ada ketenteraman dan perubahan bila pimpinan sebuah
organisasi atau bangsa sudah tidak lagi memiliki sifat amanah.
Kerana pentingnya amanah ini, pernah disebut dalam sebuah hadis,
seorang Arab Badwi bertanya, “Bilakah tibanya kiamat?” Nabi SAW lalu menjawab,
“Apabila amanah diabaikan maka tunggulah kiamat.” Orang itu bertanya lagi,
“Bagaimana hilangnya amanah itu, ya Rasulullah?” Nabi SAW menjawab, “Apabila
perkara (urusan) diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah
kiamat.” (HR. Bukhari)
Kiamat itu dapat diterjemahkan secara luas misalnya kiamat
ekonomi, kiamat politik, kebudayaan, peradaban, hancurnya langit dan bumi,
hasil dari orang-orang yang tidak berpegang kepada amanah, atau menyerahkan
urusan kepada orang yang tidak berkelayakan. Apakah kita berharap terjadinya
kiamat-kiamat tersebut?
Allah SWT. berfirman: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya”. [An-Nisa’ :4: 58].
Ketiga,
didasarkan pada sifat at-tabligh. Fungsi
kepemimpinan atau pengurusan adalah untuk menyampaikan apa-apa yang memang
patut disampaikan kepada masyarakat secara jujur. Sifat ini adalah keterbukaan
dalam pengurusan.
Contohnya apabila keadaan ekonomi gawat, katakanlah gawat.
Jangan disembunyikan sebarang fakta yang perlu diketahui umum.
Sifat
tabligh ini hanya dimiliki oleh seorang pemimpin yang benar-benar tidak punya
kepentingan diri dalam kepemimpinannya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "“Katakanlah kebenaran walaupun ia
pahit” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim)
Keempat, didasarkan pada al-fatonah (kebijaksanaan). Dengan
kebijaksanaannya, baginda Rasulullah SAW tidak hanya sebagai pemimpin yang
hanya berwawasan, tetapi ia mampu membuktikan setiap visinya dalam tindakan dan
kehidupan. Pengurusan hidup yang seperti inilah sepatutnya diteladani umat
Islam dalam menguruskan diri, keluarga, masyarakat, organisasi malah negara.
Jika diperhalusi sifat-sifat teras di atas, dari sana lahir
sifat mulia yang berkembang dalam kehidupan setiap hari. Antara yang lahir di
sini adalah sifat adil. Dalam sebarang pengurusan, tindakan perlu adil dan
seimbang.
Hal ini tercermin dalam sabda Nabi: "Seandainya anakku
Fatimah mencuri, maka aku sendiri yang akan memotong tangannya.''
Sikap adil ini menjadi unsur utama dalam memulai satu
pembaharuan pengurusan. Perubahan sukar berlaku apabila penegakan hukum tidak
dapat dilakukan. Adanya undang-undang adalah untuk kemaslahatan masyarakat.
Orang yang bersalah selayaknya mendapatkan hukuman yang setimpal. Jangan sampai
orang yang betul-betul bersalah, bertahun-tahun melakukan kesalahan yang nyata,
dibiarkan begitu saja bahkan dibela terus.
Namun keadilan tidak akan wujud tanpa iman. Kerana itu
Rasulullah hadir untuk mengenalkan manusia kepada Tuhan yang Maha Esa, Allah
SWT. Setiap masa dan ketika Rasulullah menceritakan tentang Allah dan hari
Akhirat. Tentang kebesaran, kesucian dan kekuasaan-Nya. Tentang kasih sayang,
keampunan dan belas ihsan-Nya. Tentang kuasa dan iradah-Nya dan tentang
segala-gala sifat yang ada pada Tuhan.
Segala sifat Allah itu sangat-sangat dihayati oleh para Sahabat
hingga mereka menjadi cukup kenal dengan Tuhan. Bukan setakat tahu, tetapi
cukup kenal. Mereka menjadi orang-orang yang arifbillah. Hati-hati mereka cukup hampir
dengan Allah, cukup sensitif dan peka dengan Allah SWT. Mereka cukup terangsang
dengan kebesaran dan keagungan Allah.
Akhirnya jadilah para Sahabat, orang-orang yang sangat cinta dan
takut kepada Tuhan. Dalam hidup mereka, Allahlah yang menjadi perkara utama.
Allahlah yang bertakhta di hati-hati mereka.
Setelah diperkenalkan manusia kepada Tuhan, Rasulullah berjuang
membawa manusia agar mencintai dan mentaatiNya. Apabila Allah turunkan
perintah-perintah dan hukum, amat mudah dituruti tanpa banyak soal, kerana
mereka yang beriman itu telah kenal dengan Pencipta hukum itu.
Kelahiran Rasulullah SAW ke muka bumi pada hakikatnya adalah
kelahiran sebuah peradaban baru. Ia berjuang meningkatkan taraf hidup rohaniah
dan moral suatu bangsa yang tenggelam dalam kebiadaban.
Baginda sebenarnya tidak hanya sosok jasmani dan rohani sebagai
manusia, tetapi adalah manifestasi dari nilai-nilai ilahiah itu sendiri.
Ketenangan dan keberhasilan perjuangan baginda adalah bukti kebenaran itu
mampu mengalahkan kejahatan meskipun jalan perjuangannya panjang.
Kerana itu ketaatan kepadanya adalah mutlak, sebab ketaatan
tersebut bukan hanya ketaatan pada peribadi bahkan pada nilai.
Sabda Baginda maksudnya: "Tidaklah seseorang itu dikatakan
beriman hingga aku lebih dicintai daripada ayahnya, anaknya dan seluruh manusia."
(Hadis riwayat Bukhari)
Rasulullah diutus oleh Allah ke muka
bumi untuk melaksanakan tugas yang sangat berat. Inti kerasulannya adalah
mengadakan reformasi total. Mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya,
dari tertindas dan terjajah jasad dan jiwa kepada menuju kemerdekaan, dari
ketinggalan di belakang menuju kemodenan, dan dari kebiadaban peradaban menuju
masyarakat yang bermaruah.
Rasulullah membawa aqidah yang tepat dan sempurna, akhlak mulia
yang amat indahnya serta cara hidup yang berlandaskan syariat yang agung dan
amat sesuai dengan fitrah.
Benarlah Firman Allah yang Maha Agung, "Demi sesungguhnya,
adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi
orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari
akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa
susah dan senang) [Al Ahzab:33.21]
Sumber rujukan :