Monday 29 February 2016

KESIMPULAN

KESIMPULAN

Kesimpulannya, Rasulullah S.A.W adalah pemimpin yang perlu dicontohi . Pemimpin yang dihormati bukan ditakuti. Pemimpin yang dikasihi dan disayangi. Sewajarnya kepimpinan baginda itu ditela’ah, ditekuni dan diambil mutiara darinya untuk menerangi kehidupan.  Rasulullah S.A.W adalah manusia paling sempurna untuk dijadikan teladan umat manusia bagi mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat. Sikap sesetengah umat Islam yang mengambil individu tertentu sebagai model ikutan adalah sesuatu yang mendukacitakan. Mereka mengambil pemimpin yang zalim dan penyanyi Barat sebagai contoh ikutan. Apa yang lebih memilukan ada yang menjadikan golongan yang memuja maksiat dan bergelumang dengan najis dadah dan jenayah sebagai contoh ikutan mereka. Sedangkan semua itu bukan mengajak mereka kepada kebaikan tetapi mendorong mereka kepada kebinasaan dan kelalaian semata-mata.

Walau sehebat mana sekalipun manusia itu, mereka tetap tidak dapat menandingi Rasulullah S.A.W yang sentiasa mendapat jagaan dan peliharaan Allah. Dengan itu, memperbetulkan kembali model ikutan kita dengan menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai 'role model' adalah satu kewajiban dan tuntutan agama yang perlu dilakukan oleh kita umat Islam.

Baginda memimpin umatnya ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT iaitu agama Islam. Kini Baginda S.A.W sudah tidak ada lagi di dunia ini, tetapi umatnya tetap dijamin tidak akan sesat selama mana mereka berpegang dengan pusaka tinggalannya iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah. Melalui dua sumber ini umat Islam sentiasa terpimpin dalam menghadapi kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini. Rasulullah S.A.W adalah contoh dan model unggul umat Islam. Kredibiliti dan ketrampilan baginda terserlah sebagai seorang bapa mulia, suami mithali, dan pemimpin adil. Mudah-mudahan kita akan menjadi umatnya, yang ingin mengambil iktibar dan contoh dari kehidupan baginda. Inilah sebahagian dari rasa kasih dan cinta kita kepada baginda.

Sumber rujukan : 


Nur Shahiza Bt Mohamad Ishak, Rosmawati Bt Razak, Mohamad Suhaimi Bt Ismail. 2015. Pengurusan Dalam Islam. Pulau Pinang: Alternatif Maju Enterprise


KEPENTINGAN PENGURUSAN

Kepentingan Pengurusan

Pengurusan dan pentadbiran diperlukan di dalam semua organisasi, tidak kira sama ada organisai itu kecil atau besar, swasta atau badan kerajaan. Fungsi pengurusan bukan sahaja merupakan tanggungjawab seorang pengurus besar atau pengarah tetapi juga tanggungjawab penyelia atau ketua bahagian yang berada di dalam organisasi. Antara kepentingan pengurusan ialah :

·        Memastikan matlamat organisasi tercapai .
·        Memastikan kelancaran perjalanan keseluruhan sesebuah organisasi.
·        Memastikan segala sumber iaitu semua faktor pengeluaran di dalam organisasi digunakan secara berkesan.
·        Memastikan semua sumber (faktor pengeluaran) di dalam organisasi dapat diselaras dan diagihkan dengan baik dan teratur.
·        Memastikan tiada pembaziran sumber (faktor pengeluaran) dalam organisasi.  



Sumber rujukan :





Saturday 27 February 2016

CARA MODEL PENGURUSAN RASULULLAH S.A.W

Model pengurusan yang ditunjukkan Rasulullah SAW berdasarkan kepada empat perkara utama.

Pertama, berdasarkan sifat as siddiq (benar). Dia adalah pemimpin yang senantiasa berkata benar. Perkataan yang benar di dalam Al Quran diulang berkali-kali dengan maksud, kebenaran perkataan itu akan melahirkan komunikasi antara manusia secara sihat. Malah bukan sahaja benar dalam perkataan, bahkan dalam tindakan dan perasaan.

Apabila tiada sifat benar, maka hilanglah kepercayaan. Tiada siapa yang akan berurusan dengan orang yang tidak dipercayainya. Di sinilah kejayaan baginda yang sedari kecil dikenali sebagai al amin, (yang dipercayai).

Hal ini terserlah ketika dia bekerjasama bisnes dengan Siti Khadijah. Baginda menunjukkan bagaimana cara bisnes yang benar dan bagaimana sebuah bisnes dibangunkan atas dasar kepercayaan.

Di waktu itu, kepercayaan merupakan modal utamanya dalam perniagaan. Ternyata usahanya berhasil dan hingga kini dunia usahawan mengakui bahawa bisnes tanpa kepercayaan adalah omong kosong belaka.


Kedua, didasarkan pada sifat al amanah. Pengurusan yang amanah adalah cara pengurusan yang mampu memenuhi keperluan masyarakat. Adanya rasa amanah akan menimbulkan rasa aman. Sebaliknya, menipisnya rasa amanah akan menimbulkan keresahan dan ketidaksabaran sosial. Jadi, jangan berharap akan ada ketenteraman dan perubahan bila pimpinan sebuah organisasi atau bangsa sudah tidak lagi memiliki sifat amanah.

Kerana pentingnya amanah ini, pernah disebut dalam sebuah hadis, seorang Arab Badwi bertanya, “Bilakah tibanya kiamat?” Nabi SAW lalu menjawab, “Apabila amanah diabaikan maka tunggulah kiamat.” Orang itu bertanya lagi, “Bagaimana hilangnya amanah itu, ya Rasulullah?” Nabi SAW menjawab, “Apabila perkara (urusan) diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” (HR. Bukhari)

Kiamat itu dapat diterjemahkan secara luas misalnya kiamat ekonomi, kiamat politik, kebudayaan, peradaban, hancurnya langit dan bumi, hasil dari orang-orang yang tidak berpegang kepada amanah, atau menyerahkan urusan kepada orang yang tidak berkelayakan. Apakah kita berharap terjadinya kiamat-kiamat tersebut?

Allah SWT. berfirman: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya”. [An-Nisa’ :4: 58].

Ketiga, didasarkan pada sifat at-tabligh. Fungsi kepemimpinan atau pengurusan adalah untuk menyampaikan apa-apa yang memang patut disampaikan kepada masyarakat secara jujur. Sifat ini adalah keterbukaan dalam pengurusan.

Contohnya apabila keadaan ekonomi gawat, katakanlah gawat. Jangan disembunyikan sebarang fakta yang perlu diketahui umum.

Sifat tabligh ini hanya dimiliki oleh seorang pemimpin yang benar-benar tidak punya kepentingan diri dalam kepemimpinannya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "“Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit”  (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim)

Keempat, didasarkan pada al-fatonah (kebijaksanaan). Dengan kebijaksanaannya, baginda Rasulullah SAW tidak hanya sebagai pemimpin yang hanya berwawasan, tetapi ia mampu membuktikan setiap visinya dalam tindakan dan kehidupan. Pengurusan hidup yang seperti inilah sepatutnya diteladani umat Islam dalam menguruskan diri, keluarga, masyarakat, organisasi malah negara.

Jika diperhalusi sifat-sifat teras di atas, dari sana lahir sifat mulia yang berkembang dalam kehidupan setiap hari. Antara yang lahir di sini adalah sifat adil. Dalam sebarang pengurusan, tindakan perlu adil dan seimbang.

Hal ini tercermin dalam sabda Nabi: "Seandainya anakku Fatimah mencuri, maka aku sendiri yang akan memotong tangannya.''

Sikap adil ini menjadi unsur utama dalam memulai satu pembaharuan pengurusan. Perubahan sukar berlaku apabila penegakan hukum tidak dapat dilakukan. Adanya undang-undang adalah untuk kemaslahatan masyarakat. Orang yang bersalah selayaknya mendapatkan hukuman yang setimpal. Jangan sampai orang yang betul-betul bersalah, bertahun-tahun melakukan kesalahan yang nyata, dibiarkan begitu saja bahkan dibela terus.

Namun keadilan tidak akan wujud tanpa iman. Kerana itu Rasulullah hadir untuk mengenalkan manusia kepada Tuhan yang Maha Esa, Allah SWT. Setiap masa dan ketika Rasulullah menceritakan tentang Allah dan hari Akhirat. Tentang kebesaran, kesucian dan kekuasaan-Nya. Tentang kasih sayang, keampunan dan belas ihsan-Nya. Tentang kuasa dan iradah-Nya dan tentang segala-gala sifat yang ada pada Tuhan. 

Segala sifat Allah itu sangat-sangat dihayati oleh para Sahabat hingga mereka menjadi cukup kenal dengan Tuhan. Bukan setakat tahu, tetapi cukup kenal. Mereka menjadi orang-orang yang arifbillah. Hati-hati mereka cukup hampir dengan Allah, cukup sensitif dan peka dengan Allah SWT. Mereka cukup terangsang dengan kebesaran dan keagungan Allah.

Akhirnya jadilah para Sahabat, orang-orang yang sangat cinta dan takut kepada Tuhan. Dalam hidup mereka, Allahlah yang menjadi perkara utama. Allahlah yang bertakhta di hati-hati mereka.

Setelah diperkenalkan manusia kepada Tuhan, Rasulullah berjuang membawa manusia agar mencintai dan mentaatiNya. Apabila Allah turunkan perintah-perintah dan hukum, amat mudah dituruti tanpa banyak soal, kerana mereka yang beriman itu telah kenal dengan Pencipta hukum itu.

Kelahiran Rasulullah SAW ke muka bumi pada hakikatnya adalah kelahiran sebuah peradaban baru. Ia berjuang meningkatkan taraf hidup rohaniah dan moral suatu bangsa yang tenggelam dalam kebiadaban.

Baginda sebenarnya tidak hanya sosok jasmani dan rohani sebagai manusia, tetapi adalah manifestasi dari nilai-nilai ilahiah itu sendiri. Ketenangan dan keberhasilan perjuangan baginda  adalah bukti kebenaran itu mampu mengalahkan kejahatan meskipun jalan perjuangannya panjang.

Kerana itu ketaatan kepadanya adalah mutlak, sebab ketaatan tersebut bukan hanya ketaatan pada peribadi bahkan pada nilai.

Sabda Baginda maksudnya: "Tidaklah seseorang itu dikatakan beriman hingga aku lebih dicintai daripada ayahnya, anaknya dan seluruh manusia." (Hadis riwayat Bukhari)

 Rasulullah diutus oleh Allah ke muka bumi untuk melaksanakan tugas yang sangat berat. Inti kerasulannya adalah mengadakan reformasi total. Mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya, dari tertindas dan terjajah jasad dan jiwa kepada menuju kemerdekaan, dari ketinggalan di belakang menuju kemodenan, dan dari kebiadaban peradaban menuju masyarakat yang bermaruah.

Rasulullah membawa aqidah yang tepat dan sempurna, akhlak mulia yang amat indahnya serta cara hidup yang berlandaskan syariat yang agung dan amat sesuai dengan fitrah.

Benarlah Firman Allah yang Maha Agung, "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) [Al Ahzab:33.21]

Sumber rujukan :


SISTEM PENGURUSAN ISLAM


Perbezaan Pengurusan Islam & Pengurusan Konvensional

PENGENALAN :-
   Sistem Pengurusan Islam sekarang jika hendak dibandingkan dengan Sistem Pengurusan Konvensional seperti Barat dan Jepun amat jauh berbeza dari banyak aspek terutama dalam aspek teori dan amalannya. Sistem Pengurusan Konvensional bukan sahaja menjadi dasar dan amalan negara-negara maju bahkan menjadi tunjang kepada sistem pengurusan di negara-negara mundur dan membangun yang kebanyakannya terdiri daripada negara-negara Islam.
  Sistem Pengurusan Islam merupakan suatu sistem pengurusan yang beasaskan tauhid iaitu satu falsafah yang lengkap berhubung dengan manusia dan kehidupannya yang diwahyukan oleh Allah Taala. Secara automatisnya dapat dikatakan bahawa sistem Pengurusan Islam jika hendak dibandingkan dengan sistem-sistem pengurusan yang lain nyata sekali jauh lebih sempurna kerana ianya bersifat lengkap dan melengkapi (syumul) yang mencakupi aspek jasmani, rohani, dan akal. Berbeza dengan sistem pengurusan konvensional yang lebih menekankan aspek pengurusan yang berteraskan kepada material semata-mata dengan mengabaikan aspek agama, etika dan nilai, serta pembangunan insan.
  Namun begitu, secara teorinya Sistem Pengurusan Islam memanglah merupakan satu sistem yang sempurna dan lengkap tetapi ianya tidak diyakini untuk menjadi dasar dan amalan dalam sesebuah organisasi di dunia sekarang sama ada organisasi itu adalah kerajaan, pihak swasta, syarikat, persatuan dan sebagainya. Sistem pengurusan Islam didakwa tidak praktikal untuk dilaksanakan.
  Ramai yang tidak sedar sistem ini sebenarnya telah pun dibangunkan sejak zaman Rasulullah lagi dan mengalami beberapa reformasi yang bersesuaian dengan suasana, zaman dan tempat seperti pada zaman pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin kedua Sayyidina Umar al-Khattab sehingga sistem ini mencapai kegemilangannya pada zaman Khilafiah Uthmaniyyah di Turki.
  Oleh itu, satu anjakan paradigma amat dialu-alukan supaya Sistem Pengurusan Islam sekali lagi mendapat tempat dalam sistem pengurusan alaf baru yang kian menjelang.  Namun begitu di sana banyak masalah dan kekangan kepada sistem ini untuk menuju ke arah kemajuan sistem pengurusan yang canggih dan berdaya maju seiring dengan kemajuan sistem pengurusan konvensional.

MASALAH-MASALAH DAN KEKANGAN KEPADA SISTEM PENGURUSAN ISLAM :-

Sejarah Kegemilangan Dan Kejatuhan Islam :
  Islam pernah menggemparkan dunia pada zaman Rasulullah SAW dan khulafa’ ar-Rasyidin, apabila telah berjaya membangkitkan Islam sebagai kuasa dunia yang bukan sahaja berjaya menenggelamkan kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi, malah keluasan wilayah Islam tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa sejak dahulu hingga ke hari ini. Islam hanya mengambil masa selama 80 tahun untuk menguasai tiga buah benua terbesar iaitu Afrika, Eropah dan Asia.
 Kekuasaan Islam ini lenyap berikutan penjajahan negara-negara Barat terhadap negara-negara Islam termasuklah kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924. Berikutan dengan inilah maka kuasa politik diambil alih oleh barat dan menghapuskan sistem-sistem yang ada termasuklah Sistem Pengurusan Islam.
 Walaupun negara-negara Islam telah mencapai kemerdekaan menjelang abad ke-15H, atau abad ke-20 ini, tetapi kebanyakkan negara-negara Islam masih lagi dijajah dalam banyak hal khususnya dari aspek pemikiran.
  Berikutan dengan itu, maka pemikiran yang sudah lama ternanam inilah sedikit sebanyak mempengaruhi sikap dan keyakinan masyarakat terhadap sistem pengurusan Islam. Sikap dan keyakinan mereka lebih menjurus ke arah pemikiran barat dan Jepun dalam kebanyakan pengamalan sistem pengurusan mereka di sektor kerajaan dan juga korporat malah berpendapat bahawa sistem pengurusan hanya akan berkesan dengan menggunakan pengurusan barat dan Jepun sahaja. Sikap golongan ini jelas menunjukkan kepada kita tentang betapa fanatiknya terhadap kedua-dua konsep pengurusan ini.
 Terdapat juga penentangan daripada pihak-pihak yang berkepentingan yang tidak ingin melihat Islam dijadikan sebagai asas pembentukan masyarakat bermoral dan berakhlak. Pelbagai cara yang dilakukan oleh pihak ini antara menyebarkan dakyah bahawa kononnya jika pengurusan Islam diamalkan maka negara atau sesebuah organisasi tidak dapat mencapai pencapaian yang membanggakan. Dakwaan ini diperkukuhkan lagi dengan membandingkan negara-negara Islam dan negara maju. Mereka menambah lagi dengan berkata bahawa negara akan menjadi mundur kerana mengikut teori dan falsafah yang dilahirkan pada zaman Rasulullah dengan menganggap bahawa masa telah berubah dan memilih sistem pengurusan barat dan Jepun sebagai alternatif.
 Terdapat juga dikalangan masyarakat yang tidak dapat membezakan antara persoalan ranting dengan pokok yang mana sistem pengurusan Islam merupakan perintah yang diturunkan oleh Allah dan bukan semata-mata sembahyang, zakat, menunaikan haji sahaja. Mereka ini kurang ilmu pengetahuan dan cetek pemikiran mereka dan tidak sedar bahawa Islam adalah sebuah agama yang syumul dan meliputi semua bidang. Ini adalah disebabkan keadaan sosio-budaya mereka yang kurang membaca dan membuat kajian terhadap perkembangan sesuatu bidang. Berbeza dengan negara-negara maju yang lebih mengutamakan budaya membaca, membuat kajian ilmiah, seminar-seminar akademik dan sebagainya seperti Jepun dan German. Ini akan melahirkan masyarakat yang tandus dari segi keilmuan dan kecemerlangan akademik termasuklah dalam soal akidah.

Politik Dan Polisi Kerajaan :
  Dalam sejarah Islam, institusi Islam yang mula-mula terjejas ialah institusi khalifah, yang merupakan institusi yang mencerminkan prinsip-prinsip politik dalam bentuk yang ideal. Apabila institusi ini telah runtuh maka dengan sendirinya ianya mempengaruhi sistem politik sesebuah negara yang diaplikasikan dalam polisi-polisi kerajaan. Apabila dasar sesebuah negara telah condong ke arah sekularisme maka setiap dasar dan polisi kerajaan juga begitu. Munculnya sistem pengurusan yang berbentuk sekularisme ialah pada pertengahan kurun ke-19 yang mana pada masa ini masyarakat telah berubah daripada pertanian kepada perindustrian dan ianya diasaskan di Eropah akibat perkembangan revolusi industri.
 Pada keseluruhannya, sistem pemerintahan negara-negara Islam kini terbahagi kepada empat sistem iaitu :
1. Sistem beraja sekular yang meniru sistem pemerintahan Barat dengan mengetepikan Majlis Syura.
2. Sistem sosialis sekular, iaitu negara yang terpengaruh dengan pemerintahan sosialis barat.
3. Sistem demokrasi sekular, iaitu pemerintahan yang meniru kerajaaan demokrasi Barat dan membenarkan perkembangan Islam dalam pengertian dan konsep yang sempit.
4. Pemerintahan Islam, iaitu negara-negara yang cuba menegakkan sistem pemerintahan Islam yang berasaskan syura.
  Di Malaysia, pengaruh pengurusan Barat dan Jepun bertambah kuat lagi apabila kerajaan di bawah pimpinan Datuk seri Dr Mahathir Mohamad mencetuskan Dasar Pandang ke Timur dan melaksanakan konsep kualiti dan produktiviti dalam perkhidmatan awam. Polisi dan dasar politik sebegini mempengaruhi secara langsung ke atas sistem pengurusan Islam dan membawa banyak masalah kepada perkembangan sistem ini sendiri. Ia jelas dipinggirkan oleh kerajaan yang akan membantutkan sistem ini untuk diamalkan oleh badan-badan kerajaan mahupun swasta.
 Jika sesebuah kerajaan Islam mengamalkan dasar dan politik sekular maka program-program Islam seperti sistem pengurusan Islam untuk mencapai maqasid akan terus menjadi perhiasan dalam arena politik negara-negara Islam. Ini kerana sistem pengurusan Islam hanya dapat dijalankan melalui polisi kerajaan dan kerajaan akan menterjemahkan polisi tersebut dalam perlembagaan negara seterusnya dikuatkuasakan. Ini amat penting untuk proses pengislaman semula pengurusan dan penggubahan gelagat individu, institusi dan kerajaan menurut strategi Islam. Amat malang sekali, kebanyakan kerajaan Islam selama ini menggunakan Islam hanya sebagai slogan tanpa menyedari sumbangan positifnya kepada kemajuan masyarakat dan ekonomi.
 Faktor kedua yang berkait rapat dengan politik ini ialah kebanyakan negara-negara Islam sekarang wujud ketidakseimbangan, ketaksamaan dan ketegangan politik yang juga boleh membawa kepada masalah kepada kemajuan sistem pengurusan Islam itu sendiri. Pengamalan terhadap sistem pengurusan Islam amat memerlukan kepada keadaan politik yang stabil, keamanan yang terjamin dan bebas dari segala bentuk pergolakan, peperangan, ketaksamaan dan sebagainya.

Kurangnya Kajian , Kepakaran Dan Masalah Sistem Pengurusan Islam Itu Sendiri :
 Memang tidak dinafikan sama sekali bahawa dari sudut praktikalnya, sistem pengurusan Islam sendiri memang banyak masalah berbanding dengan sistem pengurusan konvensional Barat dan Jepun. Dalam memperkatakan tentang kekuatan dan keunggulan sistem pengurusan yang sedia ada, kita harus sedar dan berfikiran secara objektif dan mengakui bahawa masih terdapat beberapa kelemahan dari segi penggarapan dan pengkajian pengurusan islam sebagai satu disiplin ilmu yang saintifik jika hendak dibandingkan dengan teori-teori dari barat.
 Walaupun terdapat tulisan beberapa tokoh dan ulama’ yang membuat kajian dan penulisan dalam bidang pengurusan Islam namun jumlah mereka hanya sedikit yang bersifat kontemporari. Tulisan-tulisan seperti al-Usul oleh Abu Ubaid, al-Ahkam As-Sultaniyah oleh Mawardi, dan bebarapa tulisan oleh ibn khaldun dikatakan bersifat tradisional dan tidak komprehensif untuk diamalkan dalam sistem pengurusan moden. Namun begitu kebolehan ulama’ silam ini tidak boleh diperkecilkan kerana contoh-contoh tulisan mereka ini juga turut menjadi rujukan para pengkaji barat seperti tulisan al-Mukaddimah oleh ibn Khaldun dan juga beberapa tulisan al-Ghazali.
 Walaupun falsafah Sistem Pengurusan Islam telah lama digariskan oleh Allah dan RasulNya dalam al-Quran dan as-Sunnah, namun dari segi kematangan sistem ini sendiri ianya masih diperingkat awal jauh ketinggalan dengan sistem pengurusan Jepun dan Barat. Sistem pengurusan Islam tidak matang sebenarnya dalam proses pengadunan pengurusan Islam itu sendiri. Proses pengadunan ini adalah tanpa mengabaikan sistem nilai dan pandangan hidup yang merupakan sesuatu yang asasi dalam membentuk identiti dan akal budi sesebuah bangsa itu dengan membawa maksud tidak melakukan pengabaian terhadap falsafah asal sistem pengurusan Islam.
 Proses penyaringan sistem pengurusan ini hendaklah dilakukan dengan teliti dan bijaksana selaras dengan kehendak syarak dan juga tidak bertentangan dengan nilai-nilai setempat agar menjadikan sistem pengurusan itu lebih matang.

Abad Ke-21 Yang Mencabar :
 Untuk menuju ke arah perkembangan dan kemajuan, sistem pengurusan Islam sekarang terpaksa mendepani abad yang ke 21 yang amat mencabar yang sudah tentunya menjadi masalah kepada sistem pengurusan Islam itu sendiri. Abad ke 21 yang akan datang bakal menyaksikan pelbagai perkembangan baru yang menakjubkan sama ada dari segi perubahan sains dan teknologi dan juga perubahan ekonomi, geopolitik dan sosial.
 Di Malaysia sekarang kita juga akan dihadapkan dengan pelbagai cabaran baru dan serpihan-serpihan daripada cabaran atau masalah yang lama yang masih belum selesai. Sebagai contoh perkara yang masih belum selesai ialah seperti perpaduan kaum, intergrasi nasional, pembangunan seimbang, masalah alam sekitar, masalah kemiskinan isu kaum minoriti dan sebagainya yang menjadi isu pokok yang masih belum selesai sepenuhnya.

Cabaran Strategik Utama Yang Sesuai Dalam Perlaksanaan Pengurusan Islam :
a. Menangani ilmu pengurusan Barat.
b. Menangani kemunculan abad Asia.
c. Menghadapi persaingan ekonomi serantau.
d. Mengurus ledakan informasi dan kecanggihan teknologi.
e. Cabaran semula kebangkitan Islam.
f. Menentang gejala korupsi.
g. Menangani isu-isu sosiobudaya.




SUMBER RUJUKAN :

http://pangurusan-islam.tripod.com/sistem_pengurusan_islam.htm



PENTADBIRAN WILAYAH (ERA MADINAH)

Tiga jawatan besar dan penting iaitu :

1)      Wali (Gabenor)
Daerah kerajaan Islam di akhir hayat Rasulullah SAW meliputi Semenanjung Tanah Arab hingga ke perbatasan negeri-negeri jiran seperti Syria (Syam) dan lain-lain. Baginda telah melantik wali atau gabenor sebgai wakil baginda ke atas wilayah-wilayah tersebut seperti Yaman (Muaz Bin Jabal),  Ta’ef (Uthman b Abi Al Aaas), Mekkah ( Attaa bin Usaid)

2)      Hakim (Qadi)
Tugas mereka ialah untuk melaksanakan keadilan serta melaporkan terus kepada Rasulullah SAW yang merupakan ketua hakim , khususnya kota Madinah. Ali bin Abi Talib dan Mu’az Bin Jabal antara para hakim yang dilantik baginda.

3)      Amil (Pemungut Cukai)
Tugas mereka berkait dengan ekonomi Negara dan umat islam seperti memungut zakat, derma , jizyah , al-fai , al-Kharaj , Al- Usyur dan sebagainya dari umat Islam dan bukan Islam yang berada dan mendapat perlindungan dalam daerah perintahan Islam.



Sumber rujukan : 

Nur Shahiza Bt Mohamad Ishak, Rosmawati Bt Razak, Mohamad Suhaimi Bt Ismail. 2015. Pengurusan Dalam Islam. Pulau Pinang: Alternatif Maju Enterprise

PENTADBIRAN PUSAT (ERA MADINAH)

Pentadbiran peringkat ini dibahagi kepada tujuh jabatan :

1.Timbalan (nai’bin) :-
Mereka adalah dikalangan sahabat yang mengetuai pentadbiran Negara terutamanya menguruskan hal ehwal Islam sewaktu ketiadaan Rasulullah SAW di Madinah.

2.Penasihat (mushir) :-
Baginda sentiasa berunding dan meminta pendapat daripada orang-orang yang bijak, pandai, kuat iman, warak dan bersemangat untuk memperkembangkan Islam. Majlis penasihat (syura) terdiri daripada tujuh orang Muhajirin dan tujuh orang Ansar, antaranya ialah : Hamzah, Jaafar, Abu Bakar, Umar, Ali, Ibnu Mas’ud, Salman, Ammar, Huzaifah, Abu  Zar, Miqadad dan Bilal.

3.Setiausaha (katib) :-
Katib bermaksud penulis, pencatat atau penyalin yang kemudiannya dikenali sebagai setiausaha. Baginda memberi tumpuan yang serius dalam bidang ini dan melakukan golongan pakar yang menulis beberapa dokumen seperti wahyu, surat kepada raja-raja dan sebagainya.

4. Wakil (Rasul) - Duta :-
Duta mestilah cerdik, perwatakan yang menyenangkan dan menarik serta menguasai bahasa-bahasa asing khususnya bahasa ditempat mereka dihantar bertugas. Antara tugas mereka ialah mengajak kepada Islam, membuat perjanjian, memberi perlindungan,memohon kepada pemimpin tertentu untuk membenarkan orang Islam di Negara untuk pulang, mengirimkan hadiah dan lain-lain.

5. Pesuruhjaya :-
Kebiasaanya dilantik untuk mengurus soal-soal kecil tetapi dalam keadaan tertentu ia adalah tugas berat seperti politik dan perlaksan undang-undang.

6.Penyair dan pemidato (syu’ara’ dan khutaba’) :-
Penyair seperti Hassan bin Thabit bertindak balas kepada penyair bukan Islam yang mengeji dan mencela sifat-sifat peribadi Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun penyair Islam dilarang daripada melampaui dan keterlaluan.

7.Pegawai tugas-tugas am :-
Pelbagai nama diberi kepada mereka seperti Azin (pemanggil) , Bawwab (penjaga pintu) dan hijab (penjaga pagar).




SUMBER RUJUKAN :

NurShahiza bt Mohamad Ishak , Rosmawati bt Razak , Mohamad Suhaimi 
bin Ismail , 2015, Pengurusan Dalam Islam , Pulau Pinang : Alternatif Maju
Enterprise 



Contoh Model Pengurusan Rasulullah Era Madinah

ERA MADINAH.
Madinah adalah merupakan sebuah kota yang mempunyai masyarakat majmuk, yang terdiri daripada etnik Arab dan etnik Yahudi. Orang Yahudi terdiri daripada tiga kabilah, iaitu Qainuqa’, al-Nadir dan Quraizah. Antara kabilah-kabilah ini tidak aman kerana adanya perbalahan dan rebutan antara mereka. Manakala di kalangan orang Arab pula terdiri daripada beberapa suku kaum, seperti Khazraj dan Aus. Keadaan mereka sentiasa bermusuhan, sama ada antara etnik dan kabilah atau suku kaum. Orang Arab Madinah samalah dengan orang Arab lain, menganuti kepercayaan keberhalaan, memuja dan menyembah patung-patung berhala.
Disamping itu pula orang-orang Musyrikin Quraisy di Makkah sentiasa membuat pelbagai usaha untuk menghancurkan agama Islam dan orang-orang Islam. Untuk mententeramkan keadaan huru-hara di Madinah, Rasullah SAW membuat perjanjian dengan seluruh Penduduk di Madinah dan menulis satu piagam negara Islam pertama yang disebut sebagai Sahifah al-Madinah.
Rasulullah s.a.w. dalam merangka piagam Madinah, beliau telah mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika itu. Terdapat tiga langkah yang diambil oleh Rasulullah dalam membentuk piagam Madinah:

*MEMBINA MASJID - Baginda telah membeli sebidang tanah untuk tapak masjid dengan harga sepuluh dinar yang dipungut daripada derma ikhlas para sahabat. Masjid ini dibina supaya ia menjadi sebuah parlimen untuk menyatupadukan ummah, sebuah universiti bagi mengajar soal-soal keagamaan dan keduniaan, sebuah mahkamah untuk kehakiman, sebuah rumah tumpangan bagi pengembara dan tempat di mana solat didirikan secara berjemaah.

*PROGRAM KELUARGA ANGKAT - Program keluarga angkat yang diamalkan pada masa kini sebenarnya telah diperkenalkan oleh Islam semenjak 14 abad yang lampau. Ia mencerminkan satu pengurusan yang bervisi yang mempunyai kesan jangka panjang dalam menjayakan sesuatu kempen kemasyarakatan. Perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi SAW ialah menjalinkan kemesraan antara golongan Muhajirin dan Ansar di mana setiap orang daripada Muhajirin akan mengambil seorang saudara angkat daripada Ansar.

*PERJANJIAN DENGAN YAHUDI - Rasulullah SAW membuat perjanjian bertulis dengan yahudi. Dalam perjanjian tersebut diakui dan ditetapkan bahwa setiap golongan memiliki hak yang sama serta mempunyai kebebasan menjalankan syariat agamanya masing- masing dengan dasar saling menghormati dan menghargai. Setiap golongan wajib menjaga dan memelihara utuhnya kedaulatan kota madinah serta bersedia menjadi pembela yang setia jika terjadi ancaman dan serangan musuh dari luar kota.Mereka akan menjadikan kota madinah sebagai Madinatul haram atau kota suci yang harus terpelihara kesuciannya.

ASPEK UTAMA PIAGAM MADINAH

# Pengakuan terhadap Rasullah s.a.w sebagai Ketua Negara Madinah yang wajib dipatuhi dan dihormati. Apa-apa masalah besar antara penduduk Islam dengan penduduk bukan Islam mestilah dirujuk kepada ketua negara untuk diselesaikan. Walaubagaimana pun, semua ketua kaum mempunyai hak untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri secara yang difikirkan berpatutan.

# Semua penduduk Madinah hendaklah hidup sebagai satu Ummah yang tidak terpengaruh dengan apa – apa elemen yang tidak baik dari luar.

# Semua penduduk hendaklah bersatu-pada, berkerjasama, dan bertanggungjawab mempertahankan negara dari apa -apa serangan musuh.

# Semua penduduk diberi kebebasan mengamalkan agama masing – masing, dan tiada gangguan dan paksaan dalam hal keagamaan.

# Keselamatan semua penduduk adalah terjamin selama mereka mematuhi perlembagaan tersebut.

Dengan tergubalnya Piagam Madinah, lahirnya sebuah negara Islam pertama di dunia di Madinah, yang menjadi induk kepada Empayar Islam selepasnya, yang memerintah dunia selama tujuh abad.

Hal ini menunjukkan pencapaian besar Rasulullah SAW dalam pelaksanaan hijrah dan mengubah landskap akidah, undang-undang dan akhlak masyarakat jahiliah adalah kerana kecemerlangan perancangan yang strategik. Rasulullah SAW menyedari walaupun Islam baru bertapak di Makkah, tetapi ia memiliki kekuatan untuk membina masa depan manusia selari dengan standard piawaian yang ditetapkan Allah. Oleh yang demikian, kepimpinan Rasulullah dalam merancang dan menguruskan pentadbiran perlu dicontohi bagi melahirkan sistem pengurusan yang terancang dan sistematik.

Sumber rujukan : 

Contoh-contoh Perancangan Rasulullah Dalam Pendidikan Era Makkah

1) Menyampaikan Ilmu Pendidikan Islam

Pengurusan Rasulullah dalam pendidikan
memperlihatkan beberapa bentuk perancangan
yang telah baginda susun bagi memastikan
matlamat pembentukan akidah yang benar dan
penerapan akhlak mulia dalam diri masyarakat
Islam Makkah ketika itu tercapai. Antara
perancangan baginda ialah menyampaikan ilmu
pendidikan Islam. Baginda telah menjadikan
rumah Arqam ibn Abi al-Arqam sebagai pusat
penyebaran ilmu Islam yang pertama, iaitu pada tahun 610 M dan
menggalakkan kaum muslimin ketika itu supaya
menguasai pelbagai bentuk ilmu pengetahuan dari
aspek teori dan praktisnya. Baginda sekali-kali tidak mengizinkan individu dan masyarakat Islam berada dalam kejahilan dan buta huruf. Baginda juga sangat
komit dalam menyampaikan ilmu Allah sama ada
di rumahnya, di rumah para sahabat, di masjid
mahupun di tempat-tempat perhimpunan.


2) Memerintahkan sahabat belajar menulis

Rancangan lain baginda dalam
pendidikan adalah dengan memerintah para
sahabat belajar membaca dan menulis. Menyedari
hakikat masyarakat arab ketika itu yang amat
terkenal dengan buta huruf Al-Quran dijadikan sebagai bahan dan
silibus pembelajaran. Melalui pengajian Al-Quran
para sahabat bukan sahaja arif tentang perintah
dan suruhan Allah serta hukum-hakam agama,
malah mereka menjadi golongan yang celik huruf.


3) Galakan kepada kaum perempuan untuk menuntut ilmu

Perancangan baginda dalam pendidikan
juga tertumpu kepada golongan wanita melalui
galakan baginda kepada kaum wanita untuk
menuntut ilmu. Sebagai contoh, baginda pernah
mengundang Shafah al-Adawiyah ke rumah
baginda untuk mengajar isteri baginda Sayyidah Hafsah
membaca dan menulis. Galakan ini adalah
bersesuaian dengan matlamat baginda untuk
menghasilkan lebih ramai kaum muslimin yang
tahu membaca dan menulis tidak kira lelaki atau
perempuan. Tumpuan galakan ini terhadap kaum
wanita juga memperlihatkan kepentingan
golongan ini dalam penerusan pendidikan Islam.
Ini kerana para wanita akan melahirkan zuriat dan
seterusnya menjadi guru yang pertama bagi anak-anak
mereka melalui pendidikan di rumah.


sumber rujukan :


















Friday 26 February 2016

Contoh Model Pengurusan Zaman Rasulullah Era Mekah

 i-ERA MEKAH

PENGURUSAN RASULULLAH SAW DARI SEGI PENYEBARAN DAKWAH

DAKWAH SECARA RAHSIA


Peringkat dakwah secara rahsia telah berjalan selama 3 tahun di Mekah. Dakwah telah disampaikan kepada orang-orang yang paling dekat hubungannya dengan Nabi Muhammad SAW, iaitu di kalangan ahli keluarga dan sahabat handai Baginda SAW.
Pada hari pertama dakwah, seramai 4 orang telah memeluk Islam. Mereka ialah :-

  • i. Khadijah binti Khuwaylid (isteri Baginda)
  • ii. Zayd bin Thabit bin Shurahbil al-Kalbi (hamba Baginda)
  • iii. Ali bin Abu Talib (sepupu Baginda, beliau masih kanak-kanak dan di bawah jagaan Baginda)
  • iv. Abu Bakar as-Siddiq (sahabat setia Baginda)


Seterusnya bilangan yang memeluk Islam semakin bertambah hingga bilangannya melebihi 40 orang. Walau bagaimanapun, berlaku perselisihan berkaitan bilangan mereka di kalangan para ulama. Golongan yang terawal memeluk Islam digelar sebagai al-Sabiqun al-Awwalun.
Antara perintah awal yang diturunkan ilah perintah mendirikan solat. Sepanjang tempoh rahsia ini, terbentuk persaudaraan akrab di kalangan orang yang memeluk Islam. Setelah hampir 3 tahun, orang-orang Quraisyh Mekah mula mengetahui dakwah sulit itu. Walaupun pada awalnya mereka tidak mempedulikan, namun mereka tetap menghantar orang untuk mengintip untuk mengetahui hasil dakwah Nabi Muhammad SAW


DAKWAH SECARA TERBUKA 


1) Terus terang kepada Kaum Kerabat
 Dakwah secara terbuka berlaku pada tahun ke -4 kenabian Baginda SAW. Ayat pertama yang turun berkenaan hal ini ialah ayat 214 dari surah Asy-Shu’ara’ :

                         وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِين
                        "Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat"

Usaha dakwah secara terbuka kepada kaum kerabat dapat dibahagikan kepada beberapa langkah :

a) Memanggil Bani Hashim. Turut serta ialah Bani al-Muttalib bin 'Abd Manaf. Sebelum Nabi SAW berucap, Abu Lahab terlebih dahulu memberikan ucapan dengan meremehkan Nabi SAW.

b) Baginda memanggil mereka kali kedua. Kali ini, Abu Talib telah mengatakan bahawa sokongan akan diberikan terhadap apa yang diucapkan oleh Nabi SAW.


Selesai Nabi Muhammad SAW berucap, Abu Lahab telah menjerit, “ Celaka engkau seluruh hari ini, adakah kerana ini engkau mengumpulkan kami?” Kemudian turunlah ayat dari surah Al-Masad bagi mencela perbuatan Abu Lahab tersebut.

                     2. Terus terang kepada orang ramai (umum)

Peringkat ini dijalankan oleh Rasulullah SAW setelah turunnya perintah Allah di dalam Surah al-Hjir ayat 94 :


"Maka Sampaikanlah Oleh Mu Secara Terang-terangan Segala Apa Yang Diperintahkan (kepadamu) Dan Berpaling Lah Dari Orang-orang Yang Musyrik"


Apabila turun ayat ini, Rasulullah terus menjemput kaum Quraisy serta pembesar-pembesar Quraisy menghadiri perjumpaan (rapat umum) di kaki bukit Safa dan menyeru mereka kepada agama Islam dan menyembah Allah SWT.

Dakwah pada peringkat ini menerima tentangan hebat dari kafir Quraisy. Penganut Islam khususnya golongan hamba dan orang miskin menerima pelbagai penyeksaan. Selepas peringkat ini, ajaran Islam terus tersebar luas dan pemgikut Islam semakin bertambah meliputi penduduk Mekah dan luar Mekah.

 PERANCANGAN RASULULLAH SEBELUM BERHIJRAH

Sebelum berhijrah, beberapa perancangan dan penyusunan kerja telah dilakukan oleh Rasulullah dan Sayyidina Abu Bakar iaitu :

i. Mengupah Abdullah bin Arqat sebagai penunjuk jalan. Beliau bukan seorang yang beragama Islam.

ii. Memberi tanggungjawab kepada anak Sayyidina Abu Bakar iaitu Abdullah bin Abu Bakar supaya tinggal di Mekah pada siang hari untuk merisik hal ehwal puak Quraisy setelah Rasulullah dan Sayyidina Abu Bakar keluar dari rumah mereka. Pada sebelah malam, Abdullah pergi berjumpa mereka berdua untuk member perkhabaran tentang orang Quraish.


iii. Memberi tanggungjawab kepada pengembala ternakan, iaitu ‘Amir bin Quhairah supaya membawa ternakannya ke tempat persembunyian mereka bagi menghilangkan kesan tapak kaki mereka pada siang hari dan memberikan mereka minum susu pada waktu malam.


Contoh di atas membuktikan bahawa perancangan dan pengurusan adalah perkara yang amat penting dalam Islam.





Sumber rujukan : 

Nur Shahiza Bt Mohamad Ishak, Rosmawati Bt Razak, Mohamad Suhaimi Bt Ismail. 2015. Pengurusan Dalam Islam. Pulau Pinang: Alternatif Maju Enterprise

Saturday 13 February 2016

Pengenalan Dan Definisi Pengurusan

Pengurusan adalah satu aspek yang penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri mengenai perkara tersebut. Pengurusan Islam bukanlah satu bentuk pengurusan yang baru muncul tetapi ia telah lama muncul walaupun bukan dalam bentuk institusi kebajikan, syarikat atau organisasi khusus. Sebaliknya ia telah lahir dalam bentuk pengurusan negara, empayar dan pembinaan ummah.

Berikut ialah definisi pengurusan Islam yang diutarakan oleh sarjana-sarjana Islam contohnya definisi pengurusan oleh Ahmad Ibrahim Abu Sin yang menyatakan bahawa pengurusan adalah "sebagai satu kajian ilmiah terhadap bakat dan kebolehan serta kemahiran seseorang menjadi pengurus" Selain itu,  Profesor Syed Othman Alhabshi pula mentakrifkan
"Pengurusan merupakan suatu proses mendapat dan mencantumkan sumber-sumber kewangan, modal, tenaga manusia dan sebagainya untuk mencapai matlamat organisasi sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan"

Pengurusan Islam bersifat Rabbani kerana sistemnya adalah berlandaskan kepada syariat yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Sistem pengurusan Islam bukanlah merupakan satu sistem yang direka dan dicipta oleh manusia tetapi merupakan satu sistem yang dicipta dan diturunkan sendiri oleh Allah s.w.t melalui perantaraan Rasulullah yang dilantik dan sudah tentulah Baginda s.a.w menjadi contoh yang terbaik kepada manusia dalam menguruskan urusan duniawi mahupun ukhrawi. 
                                             
Rasulullah SAW sebagai pemimpin tertinggi yang dilantik oleh pemimpin yang Maha Tinggi, maka wajar dijadikan uswah hasanah (contoh tauladan). Gaya kepimpinan, dorongan dan sifat baginda yang penyayang telah berjaya merangsang umat Islam untuk mencapai matlamat yang dirancang.



Rasulullah sendiri yang merencanakan sesuatu aktiviti atau tindakan yang akan diambil untuk memastikan segala yang dirancang mampu membuahkan hasil yang dikehendaki. beliau tidak bertindak membuta tuli tanpa terlebih dahulu melakukan perancangan yang teliti.  

Pengurusan Rasulullah SAW telah melalui dua era yang berlainan iaitu :

i. Era Mekah
                  ii. Era Madinah 


Sumber rujukan : 


Nur Shahiza Bt Mohamad Ishak, Rosmawati Bt Razak, Mohamad Suhaimi Bt Ismail. 2015. Pengurusan Dalam Islam. Pulau Pinang: Alternatif Maju Enterprise