Saturday 27 February 2016

SISTEM PENGURUSAN ISLAM


Perbezaan Pengurusan Islam & Pengurusan Konvensional

PENGENALAN :-
   Sistem Pengurusan Islam sekarang jika hendak dibandingkan dengan Sistem Pengurusan Konvensional seperti Barat dan Jepun amat jauh berbeza dari banyak aspek terutama dalam aspek teori dan amalannya. Sistem Pengurusan Konvensional bukan sahaja menjadi dasar dan amalan negara-negara maju bahkan menjadi tunjang kepada sistem pengurusan di negara-negara mundur dan membangun yang kebanyakannya terdiri daripada negara-negara Islam.
  Sistem Pengurusan Islam merupakan suatu sistem pengurusan yang beasaskan tauhid iaitu satu falsafah yang lengkap berhubung dengan manusia dan kehidupannya yang diwahyukan oleh Allah Taala. Secara automatisnya dapat dikatakan bahawa sistem Pengurusan Islam jika hendak dibandingkan dengan sistem-sistem pengurusan yang lain nyata sekali jauh lebih sempurna kerana ianya bersifat lengkap dan melengkapi (syumul) yang mencakupi aspek jasmani, rohani, dan akal. Berbeza dengan sistem pengurusan konvensional yang lebih menekankan aspek pengurusan yang berteraskan kepada material semata-mata dengan mengabaikan aspek agama, etika dan nilai, serta pembangunan insan.
  Namun begitu, secara teorinya Sistem Pengurusan Islam memanglah merupakan satu sistem yang sempurna dan lengkap tetapi ianya tidak diyakini untuk menjadi dasar dan amalan dalam sesebuah organisasi di dunia sekarang sama ada organisasi itu adalah kerajaan, pihak swasta, syarikat, persatuan dan sebagainya. Sistem pengurusan Islam didakwa tidak praktikal untuk dilaksanakan.
  Ramai yang tidak sedar sistem ini sebenarnya telah pun dibangunkan sejak zaman Rasulullah lagi dan mengalami beberapa reformasi yang bersesuaian dengan suasana, zaman dan tempat seperti pada zaman pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin kedua Sayyidina Umar al-Khattab sehingga sistem ini mencapai kegemilangannya pada zaman Khilafiah Uthmaniyyah di Turki.
  Oleh itu, satu anjakan paradigma amat dialu-alukan supaya Sistem Pengurusan Islam sekali lagi mendapat tempat dalam sistem pengurusan alaf baru yang kian menjelang.  Namun begitu di sana banyak masalah dan kekangan kepada sistem ini untuk menuju ke arah kemajuan sistem pengurusan yang canggih dan berdaya maju seiring dengan kemajuan sistem pengurusan konvensional.

MASALAH-MASALAH DAN KEKANGAN KEPADA SISTEM PENGURUSAN ISLAM :-

Sejarah Kegemilangan Dan Kejatuhan Islam :
  Islam pernah menggemparkan dunia pada zaman Rasulullah SAW dan khulafa’ ar-Rasyidin, apabila telah berjaya membangkitkan Islam sebagai kuasa dunia yang bukan sahaja berjaya menenggelamkan kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi, malah keluasan wilayah Islam tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa sejak dahulu hingga ke hari ini. Islam hanya mengambil masa selama 80 tahun untuk menguasai tiga buah benua terbesar iaitu Afrika, Eropah dan Asia.
 Kekuasaan Islam ini lenyap berikutan penjajahan negara-negara Barat terhadap negara-negara Islam termasuklah kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924. Berikutan dengan inilah maka kuasa politik diambil alih oleh barat dan menghapuskan sistem-sistem yang ada termasuklah Sistem Pengurusan Islam.
 Walaupun negara-negara Islam telah mencapai kemerdekaan menjelang abad ke-15H, atau abad ke-20 ini, tetapi kebanyakkan negara-negara Islam masih lagi dijajah dalam banyak hal khususnya dari aspek pemikiran.
  Berikutan dengan itu, maka pemikiran yang sudah lama ternanam inilah sedikit sebanyak mempengaruhi sikap dan keyakinan masyarakat terhadap sistem pengurusan Islam. Sikap dan keyakinan mereka lebih menjurus ke arah pemikiran barat dan Jepun dalam kebanyakan pengamalan sistem pengurusan mereka di sektor kerajaan dan juga korporat malah berpendapat bahawa sistem pengurusan hanya akan berkesan dengan menggunakan pengurusan barat dan Jepun sahaja. Sikap golongan ini jelas menunjukkan kepada kita tentang betapa fanatiknya terhadap kedua-dua konsep pengurusan ini.
 Terdapat juga penentangan daripada pihak-pihak yang berkepentingan yang tidak ingin melihat Islam dijadikan sebagai asas pembentukan masyarakat bermoral dan berakhlak. Pelbagai cara yang dilakukan oleh pihak ini antara menyebarkan dakyah bahawa kononnya jika pengurusan Islam diamalkan maka negara atau sesebuah organisasi tidak dapat mencapai pencapaian yang membanggakan. Dakwaan ini diperkukuhkan lagi dengan membandingkan negara-negara Islam dan negara maju. Mereka menambah lagi dengan berkata bahawa negara akan menjadi mundur kerana mengikut teori dan falsafah yang dilahirkan pada zaman Rasulullah dengan menganggap bahawa masa telah berubah dan memilih sistem pengurusan barat dan Jepun sebagai alternatif.
 Terdapat juga dikalangan masyarakat yang tidak dapat membezakan antara persoalan ranting dengan pokok yang mana sistem pengurusan Islam merupakan perintah yang diturunkan oleh Allah dan bukan semata-mata sembahyang, zakat, menunaikan haji sahaja. Mereka ini kurang ilmu pengetahuan dan cetek pemikiran mereka dan tidak sedar bahawa Islam adalah sebuah agama yang syumul dan meliputi semua bidang. Ini adalah disebabkan keadaan sosio-budaya mereka yang kurang membaca dan membuat kajian terhadap perkembangan sesuatu bidang. Berbeza dengan negara-negara maju yang lebih mengutamakan budaya membaca, membuat kajian ilmiah, seminar-seminar akademik dan sebagainya seperti Jepun dan German. Ini akan melahirkan masyarakat yang tandus dari segi keilmuan dan kecemerlangan akademik termasuklah dalam soal akidah.

Politik Dan Polisi Kerajaan :
  Dalam sejarah Islam, institusi Islam yang mula-mula terjejas ialah institusi khalifah, yang merupakan institusi yang mencerminkan prinsip-prinsip politik dalam bentuk yang ideal. Apabila institusi ini telah runtuh maka dengan sendirinya ianya mempengaruhi sistem politik sesebuah negara yang diaplikasikan dalam polisi-polisi kerajaan. Apabila dasar sesebuah negara telah condong ke arah sekularisme maka setiap dasar dan polisi kerajaan juga begitu. Munculnya sistem pengurusan yang berbentuk sekularisme ialah pada pertengahan kurun ke-19 yang mana pada masa ini masyarakat telah berubah daripada pertanian kepada perindustrian dan ianya diasaskan di Eropah akibat perkembangan revolusi industri.
 Pada keseluruhannya, sistem pemerintahan negara-negara Islam kini terbahagi kepada empat sistem iaitu :
1. Sistem beraja sekular yang meniru sistem pemerintahan Barat dengan mengetepikan Majlis Syura.
2. Sistem sosialis sekular, iaitu negara yang terpengaruh dengan pemerintahan sosialis barat.
3. Sistem demokrasi sekular, iaitu pemerintahan yang meniru kerajaaan demokrasi Barat dan membenarkan perkembangan Islam dalam pengertian dan konsep yang sempit.
4. Pemerintahan Islam, iaitu negara-negara yang cuba menegakkan sistem pemerintahan Islam yang berasaskan syura.
  Di Malaysia, pengaruh pengurusan Barat dan Jepun bertambah kuat lagi apabila kerajaan di bawah pimpinan Datuk seri Dr Mahathir Mohamad mencetuskan Dasar Pandang ke Timur dan melaksanakan konsep kualiti dan produktiviti dalam perkhidmatan awam. Polisi dan dasar politik sebegini mempengaruhi secara langsung ke atas sistem pengurusan Islam dan membawa banyak masalah kepada perkembangan sistem ini sendiri. Ia jelas dipinggirkan oleh kerajaan yang akan membantutkan sistem ini untuk diamalkan oleh badan-badan kerajaan mahupun swasta.
 Jika sesebuah kerajaan Islam mengamalkan dasar dan politik sekular maka program-program Islam seperti sistem pengurusan Islam untuk mencapai maqasid akan terus menjadi perhiasan dalam arena politik negara-negara Islam. Ini kerana sistem pengurusan Islam hanya dapat dijalankan melalui polisi kerajaan dan kerajaan akan menterjemahkan polisi tersebut dalam perlembagaan negara seterusnya dikuatkuasakan. Ini amat penting untuk proses pengislaman semula pengurusan dan penggubahan gelagat individu, institusi dan kerajaan menurut strategi Islam. Amat malang sekali, kebanyakan kerajaan Islam selama ini menggunakan Islam hanya sebagai slogan tanpa menyedari sumbangan positifnya kepada kemajuan masyarakat dan ekonomi.
 Faktor kedua yang berkait rapat dengan politik ini ialah kebanyakan negara-negara Islam sekarang wujud ketidakseimbangan, ketaksamaan dan ketegangan politik yang juga boleh membawa kepada masalah kepada kemajuan sistem pengurusan Islam itu sendiri. Pengamalan terhadap sistem pengurusan Islam amat memerlukan kepada keadaan politik yang stabil, keamanan yang terjamin dan bebas dari segala bentuk pergolakan, peperangan, ketaksamaan dan sebagainya.

Kurangnya Kajian , Kepakaran Dan Masalah Sistem Pengurusan Islam Itu Sendiri :
 Memang tidak dinafikan sama sekali bahawa dari sudut praktikalnya, sistem pengurusan Islam sendiri memang banyak masalah berbanding dengan sistem pengurusan konvensional Barat dan Jepun. Dalam memperkatakan tentang kekuatan dan keunggulan sistem pengurusan yang sedia ada, kita harus sedar dan berfikiran secara objektif dan mengakui bahawa masih terdapat beberapa kelemahan dari segi penggarapan dan pengkajian pengurusan islam sebagai satu disiplin ilmu yang saintifik jika hendak dibandingkan dengan teori-teori dari barat.
 Walaupun terdapat tulisan beberapa tokoh dan ulama’ yang membuat kajian dan penulisan dalam bidang pengurusan Islam namun jumlah mereka hanya sedikit yang bersifat kontemporari. Tulisan-tulisan seperti al-Usul oleh Abu Ubaid, al-Ahkam As-Sultaniyah oleh Mawardi, dan bebarapa tulisan oleh ibn khaldun dikatakan bersifat tradisional dan tidak komprehensif untuk diamalkan dalam sistem pengurusan moden. Namun begitu kebolehan ulama’ silam ini tidak boleh diperkecilkan kerana contoh-contoh tulisan mereka ini juga turut menjadi rujukan para pengkaji barat seperti tulisan al-Mukaddimah oleh ibn Khaldun dan juga beberapa tulisan al-Ghazali.
 Walaupun falsafah Sistem Pengurusan Islam telah lama digariskan oleh Allah dan RasulNya dalam al-Quran dan as-Sunnah, namun dari segi kematangan sistem ini sendiri ianya masih diperingkat awal jauh ketinggalan dengan sistem pengurusan Jepun dan Barat. Sistem pengurusan Islam tidak matang sebenarnya dalam proses pengadunan pengurusan Islam itu sendiri. Proses pengadunan ini adalah tanpa mengabaikan sistem nilai dan pandangan hidup yang merupakan sesuatu yang asasi dalam membentuk identiti dan akal budi sesebuah bangsa itu dengan membawa maksud tidak melakukan pengabaian terhadap falsafah asal sistem pengurusan Islam.
 Proses penyaringan sistem pengurusan ini hendaklah dilakukan dengan teliti dan bijaksana selaras dengan kehendak syarak dan juga tidak bertentangan dengan nilai-nilai setempat agar menjadikan sistem pengurusan itu lebih matang.

Abad Ke-21 Yang Mencabar :
 Untuk menuju ke arah perkembangan dan kemajuan, sistem pengurusan Islam sekarang terpaksa mendepani abad yang ke 21 yang amat mencabar yang sudah tentunya menjadi masalah kepada sistem pengurusan Islam itu sendiri. Abad ke 21 yang akan datang bakal menyaksikan pelbagai perkembangan baru yang menakjubkan sama ada dari segi perubahan sains dan teknologi dan juga perubahan ekonomi, geopolitik dan sosial.
 Di Malaysia sekarang kita juga akan dihadapkan dengan pelbagai cabaran baru dan serpihan-serpihan daripada cabaran atau masalah yang lama yang masih belum selesai. Sebagai contoh perkara yang masih belum selesai ialah seperti perpaduan kaum, intergrasi nasional, pembangunan seimbang, masalah alam sekitar, masalah kemiskinan isu kaum minoriti dan sebagainya yang menjadi isu pokok yang masih belum selesai sepenuhnya.

Cabaran Strategik Utama Yang Sesuai Dalam Perlaksanaan Pengurusan Islam :
a. Menangani ilmu pengurusan Barat.
b. Menangani kemunculan abad Asia.
c. Menghadapi persaingan ekonomi serantau.
d. Mengurus ledakan informasi dan kecanggihan teknologi.
e. Cabaran semula kebangkitan Islam.
f. Menentang gejala korupsi.
g. Menangani isu-isu sosiobudaya.




SUMBER RUJUKAN :

http://pangurusan-islam.tripod.com/sistem_pengurusan_islam.htm



No comments:

Post a Comment