Saturday 27 February 2016

Contoh Model Pengurusan Rasulullah Era Madinah

ERA MADINAH.
Madinah adalah merupakan sebuah kota yang mempunyai masyarakat majmuk, yang terdiri daripada etnik Arab dan etnik Yahudi. Orang Yahudi terdiri daripada tiga kabilah, iaitu Qainuqa’, al-Nadir dan Quraizah. Antara kabilah-kabilah ini tidak aman kerana adanya perbalahan dan rebutan antara mereka. Manakala di kalangan orang Arab pula terdiri daripada beberapa suku kaum, seperti Khazraj dan Aus. Keadaan mereka sentiasa bermusuhan, sama ada antara etnik dan kabilah atau suku kaum. Orang Arab Madinah samalah dengan orang Arab lain, menganuti kepercayaan keberhalaan, memuja dan menyembah patung-patung berhala.
Disamping itu pula orang-orang Musyrikin Quraisy di Makkah sentiasa membuat pelbagai usaha untuk menghancurkan agama Islam dan orang-orang Islam. Untuk mententeramkan keadaan huru-hara di Madinah, Rasullah SAW membuat perjanjian dengan seluruh Penduduk di Madinah dan menulis satu piagam negara Islam pertama yang disebut sebagai Sahifah al-Madinah.
Rasulullah s.a.w. dalam merangka piagam Madinah, beliau telah mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika itu. Terdapat tiga langkah yang diambil oleh Rasulullah dalam membentuk piagam Madinah:

*MEMBINA MASJID - Baginda telah membeli sebidang tanah untuk tapak masjid dengan harga sepuluh dinar yang dipungut daripada derma ikhlas para sahabat. Masjid ini dibina supaya ia menjadi sebuah parlimen untuk menyatupadukan ummah, sebuah universiti bagi mengajar soal-soal keagamaan dan keduniaan, sebuah mahkamah untuk kehakiman, sebuah rumah tumpangan bagi pengembara dan tempat di mana solat didirikan secara berjemaah.

*PROGRAM KELUARGA ANGKAT - Program keluarga angkat yang diamalkan pada masa kini sebenarnya telah diperkenalkan oleh Islam semenjak 14 abad yang lampau. Ia mencerminkan satu pengurusan yang bervisi yang mempunyai kesan jangka panjang dalam menjayakan sesuatu kempen kemasyarakatan. Perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi SAW ialah menjalinkan kemesraan antara golongan Muhajirin dan Ansar di mana setiap orang daripada Muhajirin akan mengambil seorang saudara angkat daripada Ansar.

*PERJANJIAN DENGAN YAHUDI - Rasulullah SAW membuat perjanjian bertulis dengan yahudi. Dalam perjanjian tersebut diakui dan ditetapkan bahwa setiap golongan memiliki hak yang sama serta mempunyai kebebasan menjalankan syariat agamanya masing- masing dengan dasar saling menghormati dan menghargai. Setiap golongan wajib menjaga dan memelihara utuhnya kedaulatan kota madinah serta bersedia menjadi pembela yang setia jika terjadi ancaman dan serangan musuh dari luar kota.Mereka akan menjadikan kota madinah sebagai Madinatul haram atau kota suci yang harus terpelihara kesuciannya.

ASPEK UTAMA PIAGAM MADINAH

# Pengakuan terhadap Rasullah s.a.w sebagai Ketua Negara Madinah yang wajib dipatuhi dan dihormati. Apa-apa masalah besar antara penduduk Islam dengan penduduk bukan Islam mestilah dirujuk kepada ketua negara untuk diselesaikan. Walaubagaimana pun, semua ketua kaum mempunyai hak untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri secara yang difikirkan berpatutan.

# Semua penduduk Madinah hendaklah hidup sebagai satu Ummah yang tidak terpengaruh dengan apa – apa elemen yang tidak baik dari luar.

# Semua penduduk hendaklah bersatu-pada, berkerjasama, dan bertanggungjawab mempertahankan negara dari apa -apa serangan musuh.

# Semua penduduk diberi kebebasan mengamalkan agama masing – masing, dan tiada gangguan dan paksaan dalam hal keagamaan.

# Keselamatan semua penduduk adalah terjamin selama mereka mematuhi perlembagaan tersebut.

Dengan tergubalnya Piagam Madinah, lahirnya sebuah negara Islam pertama di dunia di Madinah, yang menjadi induk kepada Empayar Islam selepasnya, yang memerintah dunia selama tujuh abad.

Hal ini menunjukkan pencapaian besar Rasulullah SAW dalam pelaksanaan hijrah dan mengubah landskap akidah, undang-undang dan akhlak masyarakat jahiliah adalah kerana kecemerlangan perancangan yang strategik. Rasulullah SAW menyedari walaupun Islam baru bertapak di Makkah, tetapi ia memiliki kekuatan untuk membina masa depan manusia selari dengan standard piawaian yang ditetapkan Allah. Oleh yang demikian, kepimpinan Rasulullah dalam merancang dan menguruskan pentadbiran perlu dicontohi bagi melahirkan sistem pengurusan yang terancang dan sistematik.

Sumber rujukan : 

No comments:

Post a Comment